Mengurus Hutang, Menjaga Rakyat: Antara Realiti Fiskal dan Keperluan Isi Rumah

Pengumuman Belanjawan 2026 dilihat bakal menyentuh pelbagai aspek ekonomi negara. Namun, terdapat dua (2) isu utama yang perlu diberi perhatian secara khusus iaitu nisbah hutang negara kepada KDNK yang semakin menghampiri had maksimum, dan lonjakan hutang isi rumah yang menjejaskan kesejahteraan rakyat.

1. Nisbah hutang negara kepada KDNK hampir mencecah had statutori 65%.

Mengikut laporan daripada CEIC dan IMF, nisbah hutang kepada KDNK negara kini mencecah 64.6%, menunjukkan Malaysia semakin menghampiri siling statutori hutang negara. Lebih membimbangkan, perbelanjaan terus meningkat tanpa jaminan peningkatan hasil negara secara mampan.

Kita sedang berhadapan dengan ruang fiskal yang semakin mengecil, manakala keperluan perbelanjaan meningkat saban tahun. Tanpa reformasi hasil dan pengurusan hutang yang berhemah, Malaysia berisiko kehilangan keupayaan tindak balas fiskal dalam mendepani krisis akan datang.

2. Hutang Isi Rumah mencecah RM1.65 Trilion iaitu 84.3% dari KDNK.

Berdasarkan data daripada Kementerian Kewangan Malaysia, setakat akhir Mac 2025, hutang isi rumah di Malaysia mencecah RM1.65 trilion atau bersamaan dengan 84.3% daripada KDNK, meningkat berbanding hujung tahun 2024 iaitu RM1.63 trilion. Ini menjadikan Malaysia antara negara dengan hutang isi rumah tertinggi di Asia Tenggara. Lebih parah, keadaan menjadi lebih mencabar disebabkan oleh:

•          Lonjakan penggunaan pinjaman atas talian dan “Buy Now Pay Later (BNPL)” yang meningkat sebanyak 31% bernilai RM9.3 bilion bagi tempoh enam bulan pertama 2025.

•          Pengeluaran RM15 bilion dari Akaun 3 KWSP yang mana sebahagiannya juga berkemungkinan digunakan untuk melunaskan hutang merupakan satu langkah jangka pendek yang menjejaskan simpanan masa hadapan. Sebahagian rakyat kini berhutang bukan untuk melabur atau membina aset, tetapi untuk menanggung kesempitan kehidupan harian dari petrol, makanan, hingga pendidikan anak.

3. Cadangan pemulihan dan ketahanan fiskal

Sebagai pandangan awal sebelum tirai pembentangan bajet dilabuhkan di Parlimen pada hari ini, The Future Research ini memberi beberapa syor cadangan seperti berikut:

•          Menerapkan Disiplin Fiskal Pintar iaitu melaksanakan had fiskal tahunan yang dinamik berdasarkan pertumbuhan KDNK dan keperluan semasa.

•          Memperkenalkan Akta Pengurusan Hutang Negara dan mewajibkan semakan berkala oleh jawatankuasa bebas, dengan sasaran jangka sederhana untuk mengurangkan nisbah hutang kepada 55%.

•          Menubuhkan Tabung Penstabilan Harga & Hutang Isi Rumah sebagai mekanisme  bagi menyediakan bantuan penyusunan semula hutang dan bimbingan kewangan rakyat.

•          Mengawal pinjaman tidak berlesen dan mikro yang agresif dengan penguatkuasaan dasar yang lebih ketat daripada BNM dan SKMM terhadap syarikat kredit digital.

•          Wujudkan Dana Penyesuaian Subsidi sebagai mekanisme untuk melindungi rakyat daripada terkesan secara drastik akibat rasionalisasi subsidi (RON95, elektrik, beras, dan lain-lain).

4. Kos Sara Hidup dan Keberhutangan Isi Rumah: Dua Isu yang Saling Berkait Rapat

Laporan Jabatan Perangkaaan menunjukkan bahawa purata perbelanjaan isi rumah pada tahun 2024 telah meningkat 3.9% setahun dimana purata perbelanjaan isi rumah di Malaysia Adalah  sebanyak RM5,566 sebulan, namun kenaikan gaji tidak bergerak seiring dengan kenaikan kos sara hidup termasuk harga makanan yang naik 17.5% sejak tahun 2020. Tanpa langkah struktur untuk membendung kos sara hidup, hutang isi rumah dijangka akan terus melonjak.

Penutup

Belanjawan 2026 harus menjadi titik perubahan daripada ‘janji fiskal’ kepada ‘tindakan fiskal’. Jika kita tidak menstruktur semula keutamaan fiskal, hutang negara akan menjadi beban kepada generasi seterusnya, dan hutang isi rumah akan terus merencatkan kuasa beli rakyat hari ini. Kami berharap pihak kerajaan akan dapat meneliti perkara ini demi memastikan belanjawan bukan hanya kertas kira-kira, tetapi penyelesaian kepada krisis hutang berganda yang sedang kita hadapi.

#TheFutureResearch

#CraftingTheFuture

Bahagian Komunikasi Korporat

 The Future Research

10 Oktober 2026

Cyberjaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *